Ahad, 27 September 2009

KERUNTUHAN AKHLAK REMAJA


Remaja sering dikaitkan dengan masalah walaupun daripada sifat semula jadi, remaja adalah zaman yang penuh bertenaga dan mempunyai potensi diri yang cemerlang. Masalah sosial dan jenayah yang membabitkan remaja hari ini benar-benar membimbangkan. Ketidakupayaan dan kegagalan mengatasi halangan ini menimbulkan pelbagai masalah. Walaupun terdapat banyak isu yang berlaku, namun bahagian ini hanya membincangkan beberapa isu terpilih yang kerap berlaku di kalangan remaja.
Alam remaja dikatakan sebagai saat yang rapuh bagi golongan itu kerana pada peringkat ini, mereka terdedah kepada pelbagai pengaruh serta tekanan luar yang kebanyakannya menjerumuskan kepada perkara negatif. Apabila terpedaya dengan pengaruh negatif yang mengkhayalkan, akhlak remaja mudah rosak sehingga menimbulkan pelbagai masalah seperti salah laku dan jenayah.


Mengabaikan Ajaran Agama

Antara faktor permasahan keruntuhan akhlak remaja masa kini adalah disebabkan sikap para remaja yang sudah tidak mengambil berat lagi terhadap soal-soal agama.

Sebilangan remaja masa kini membesar tanpa asas Al-Quran serta asas agama yang membuatkan mereka mudah hanyut terjebak dalam segala kemungkaran. Sedangkan mereka yang mempunyai asas agama juga terlibat dalam hal-hal kemungkaran disebabkan menurut hasutan syaitan dan hawa nafsu, apatah lagi yang tidak mempunyai asas langsung cukup mudah untuk terjerumus ke lembah tersebut. Asas seperti fardu ain, fardu kifayah, rukun iman, rukun Islam belum cukup bentengnya bagi menahan serangan godaan nafsu dan bisikan syaitan yang melakukan serangan bertubi-tubi. Hanya keimanan yang tinggi, taat sepenuhnya kepada ajaran agama, memahami Islam secara syumul dapat memperkukuhkan iman menjadi ketahanan kepada segala serangan.

Sebilangan besar remaja Islam mengabaikan dan meninggalkan ibadah fardhu seperti solat lima waktu, sedangkan solat adalah benteng seseorang itu daripada melakukan dosa dan kemungkaran. Solat juga adalah penghubung antara seseorang hamba dengan Allah yang menjadikannya lebih dekat dengan pencipta-Nya. Apabila hubungan dengan Allah itu dekat maka seseorang itu akan terhindar dari sebarang perbuatan mungkar.


Kebebasan Tanpa Batasan

Kebebasan tanpa batasan yang diberikan kepada generasi hari ini merupakan punca kemurnian akhlak mereka yang dibentuk sejak kecil terhakis sedikit demi sedikit. Walaupun berada di rumah dan tinggal bersama keluarga serta ibubapa tetapi jika anak diberi kebebasan melulu mampu menjadikan anak itu liar dan buas. Anak gadis yang tinggal bersama ibubapa yang tidak ambil peduli kemana dan apakah yang dilakukannya masih berupaya mengandung dan melahirkan anak luar nikah, apatah lagi yang tinggal jauh bebas berleluasa. Ibubapa tidak pernah mencurigai segala gerak geri anaknya kerana mereka memberi kebebasan sepuasnya kepada anak mereka itu.

Berapa kerat ibubapa yang apabila anaknya mengatakan mahu keluar menuju ke satu tempat keramaian atau pertunjukan hiburan kemudian ibubapa mengambil inisiatif menghantar sendiri anaknya ke tempat tersebut disamping mengamanahkan seorang yang dipercayai mampu menemani anaknya jika ibubapa sendiri tidak berkesempatan. Kekadang pula anak memberi protes tidak mahu ditemani kerana mengganggu privacy. Keberanian si anak memprotes kerana si anak telah didik dari awal corak kehidupan sebegitu.

Sering terjadi jika si ibubapa tidak memberi izin, maka si anak akan tetap keluar melalui pintu belakang. Kebiadapan tingkah laku begini bukan jarang berlaku. Antara kawan dan ibubapa si anak lebih mempercayai dan memilih kawan sebagai idola dan penasihatnya. Dalam kejadian lain ibu dan bapa berbalah keputusan, seorang memberi izin manakala seorang lagi membantah. Keputusan yang tidak sepakat antara ibu dan bapa memberi ruang yang lebih luas untuk anak membuat sesuka hatinya dan ianya memberi makna mereka bukan dipihak yang salah.

Anak-anak remaja sekarang memang bijak berpura-pura dan berlakon. Di depan ibu bapa lain tingkah lakunya manakala bersama kawan rakan lain pula perangainya. Di luar mereka begitu bebas dan tidak terkawal tingkah lakunya sebaliknya apabila pulang ke rumah kelihatan begitu tertib, berpakaian sopan sedangkan hakikatnya amat bertentangan.

Kebebasan kepada anak-anak dan para remaja perlu diberikan tetapi ada batas dan lunas-lunasnya. Kebebasan yang diberi hendaklah berpada-pada tanpa membelakangkan ketetapan menurut syariat Islam. Kebebasan kepada mereka seumpama seorang gembala kambing yang membiarkan kambing bebas lepas meragut rumput tetapi dia memantau kemana kambingnya pergi. Jika kambingnya merayau jauh hingga terdedah kepada bahaya maka dihalau kembali kepada kelompok asal yang berada di kawasan selamat.


Keluarga yang Tidak Sempurna

Hanya keluarga yang sempurna, kasih sayang yang terjalin, percaya mempercayai dan saling hormat menghormati antara ahli dalam keluarga dapat membentuk moral anak ke tahap yang cemerlang. Jarang perkara yang buruk berlaku terhadap keluarga yang harmoni, beriman dan penuh mesra kerana setiap masalah yang melanda telah diselasaikan dengan baik supaya tidak menjadi bisul yang boleh bertukar kepada barah.

Kebanyakan masalah moral dan keruntuhan akhlak remaja yang berlaku sering disejarahkan dengan latar belakang keluarga yang kucar kacir. Tidak menjadi pilihan samada keluarga golongan orang kaya, pertengahan atau keluarga miskin. Semuanya sama saja. Keluarga yang bermasalah berlaku di kalangan orang kaya kerana kemewahan yang dimiliki manakala di kalangan yang miskin pula hanya kerana kemiskinan yang dihadapi itu jugalah penyebab utama masalah dalam keluarga ini. Begitu juga, kerana mahu mengejar hidup yang lebih mewah jugalah keluarga menjadi bermasalah dan kacau bilau. Oleh itu masalah dalam keluarga akan berlaku kepada sesiapa sahaja hatta anak keluarga raja sekali pun.

Masalah yang timbul dalam keluarga jangan dibiar berlarutan kerana mesti diselesaikan dengan segera. Sekiranya tidak berjaya diselesaikan sendiri maka mintalah pandangan dan nasihat dari mereka yang arif dan berwibawa. Apabila sesebuah keluarga mempunyai masalah serius bukan ibubapa yang menjadi mangsa tetapi yang pasti anak-anak yang menerima kesan yang teruk. Anak-anak akan mencari pilihan lain untuk melupakan masalah dalam keluarga ibubapanya. Bayangkanlah bukan seorang anak menjadi mangsa. Bagaimana kalau mempunyai anak yang ramai tidakkah kesemua anak-anak itu terdedah untuk mencari alternatif lain sekiranya telah bosan melihat masalah kedua ibubapanya.


Pengaruh Luar yang Tiada Beretika

Pengaruh luar yang berleluasa hari ini cukup membimbangkan terhadap budaya dan nilai-nilai murni Islam yang dipupuk sejak berzaman. Pengaruh budaya seperti muzik liar dari barat amat mudah meresapi pemikiran dan minda para remaja. Pengaruh media amat berkesan dalam penukaran minda dan etika. Tarian-tarian barat yang liar dan berpakaian yang tidak senonoh jika disajikan kepada remaja secara berterusan akan berjaya mempengaruhi hidup mereka. Ini ditambahkan lagi dari pengaruh yang diserapkan melalui filem dan cereka serta majalah yang begitu mudah diperolehi. Perkembangan dunia tanpa sempadan melalui teknologi maklumat dimana laman-laman web yang tidak bermoral terlalu mudah diakses tanpa batas tapisan serta pemantauan menjadikan proses penukaran minda kearah kejatuhan moral dan akhlak menjadi semakin pantas secepat kilat. Pengaruh-pengaruh negatif ini terlalu sukar dibendung apatah lagi disekat dari cuba meresap dalam diri remaja masa kini.

Penerimaan segala unsur budaya dari barat tanpa pertimbangan secara melulu menjadikan identiti dan jatidiri seseorang remaja muslim akan luntur dan hilang pedoman. Remaja muslim masa kini terlalu mudah dipengaruhi. Maka tidak hairanlah jika ada sahaja sesuatu budaya baru disogokkan kepada mereka lantas sahaja mereka menerimanya. Budaya seperti hip-hop, rock, blues, black metal semuanya ada pengikutnya di kalangan mereka.

Fesyen pakaian barat yang terlalu menonjol dari segi pendedahan bentuk tubuh badan menjadi ikutan serta pilihan sebilangan besar remaja. Di bandar-bandar kita dapat saksikan bagaimana corak dan cara berbudaya dari barat ini yang keterlaluan telah diterima sebagai sebahagian dari cara hidup mereka. Walaupun ianya kekadang bercanggah dengan ajaran Islam namun remaja muslim ini tidak memperdulikannya.


CADANGAN PENYELESAIAN MASALAH KERUNTUHAN REMAJA


Institusi Keluarga

Institusi keluarga merupakan institusi yang utama memainkan peranan penting dalam menyelesaikan masalah keruntuhan akhlak remaja, berikutan institusi ini yang paling rapat dengan seseorang remaja itu. Seperti mana yang diketahui ibu bapa merupakan tunggak utama dalam institusi keluarga. Ibu bapa perlu mendekati para remaja dengan mesra dan penuh kasih sayang. Dalam peringkat ini ibu bapa perlu menjadi rakan yang rapat kepada remaja. Mereka perlu berkongsi minat dan menyelami kehendak remaja selagi ia tidak terkeluar daripada batas moral dan syariat agama. Remaja perlu sentiasa diberi bimbingan dan nasihat oleh ibubapa dengan penuh berhikmah disamping tidak membiarkan emosi mereka terganggu yang menyebabkan pemberontakan jiwa sehinggakan mereka sanggup melakukan perbuatan yang melanggar etika dan syariat agama.

Ibu bapa perlu berusaha memberikan pendidikan yang terbaik kepada anak remaja mereka. Daripada kecil lagi pendidikan agama perlu diberi perhatian sehingga ke peringkat remaja ibu bapa perlu memastikan pendidikan agama itu diberi secara berterusan. Para remaja perlu diberi galakkan oleh ibu bapa untuk mendekati majlis ilmu dan aktiviti-aktiviti kebajikan serta keagamaan untuk mendorong mereka ke arah laluan yang membawa mereka kepada kebenaran.

Segala aktiviti remaja itu perlu dipantau secara bijak, di samping tidak bertindak mengongkong kebebasan remaja selagi mana ia tidak bertentangan dengan moral dan syariat agama. Segala pergerakkan anak remaja mereka perlu diketahui termasuk rakan-rakan kepada anak remaja mereka sendiri. Ibu bapa digalakkan juga berhubung rapat dengan rakan-rakan kepada anak remaja mereka supaya dengan itu mereka dapat memantau dengan lebih dekat dan mengetahui masalah anak remaja mereka yang kadang kala dirahsiakan oleh remaja itu sendiri. Ibu bapa perlu bertindak sebagai tempat anak remajanya itu meluahkan segala masalah mereka. Jangan sesekali menganggap luahan anak remaja itu tidak penting, dengarlah dengan hati yang terbuka dan bersungguh-sungguh.

Segala tanggungjawab yang dipikul oleh ibu bapa perlulah dilaksanakan sebaik-baiknya. Ibu bapa perlu menjadi contoh dengan menunjukkan sikap yang bertanggungjawab, beretika dan kuat pegangan agama supaya anak remaja mereka terdorong sentiasa mencontohi amalan baik ibu bapa mereka itu. Dalam ibadah solat contohnya, seorang bapa yang sentiasa bersolat jemaah akan dapat melahirkan anak yang sentiasa mengamalkan amalan mulia itu kerana telah terdidik dengan cara dan contoh daripada bapa mereka serta sudah menjadi suatu kebiasaan kepada mereka.

Doakan anak remaja sentiasa setiap kali selepas solat atau di luar solat, semoga dengan itu Allah memelihara anak remaja itu daripada segala maksiat, kemungkaran dan dosa. Antara doa yang paling mustajab ialah doa ibu bapa kepada anak-anaknya.


Institusi Sosial

Pendidikan moral memberi pengaruh besar dalam mencorakkan sikap dan akhlak remaja dan seterusnya mempengaruhi nilai-nilai sosial. Oleh kerana pendidikan moral disampaikan kepada remaja sejak kecil lagi, ia sedikit sebanyak dapat mewujudkan sikap dan nilai positif kepada diri individu berkenaan. Oleh itu, para pelajar perlu diberi penerangan yang jelas berkenaan alam remaja, masalah dan kesulitan yang mereka hadapi sebelum mencapai dewasa. Ini dapat dilakukan melalui ceramah dan majlis penerangan berkenaan masalah kehidupan remaja serta kempen memupuk kesedaran sivik.
Masalah jenayah pelajar bukan sahaja masalah pelajar, ibu bapa dan guru tetapi masalah masyarakat. Dengan itu, pemimpin-pemimpin tempatan seperti penghulu, pemimpin politik, pemimpin belia dan orang-orang yang berpengaruh perlu dihubungi bagi membantu dan bekerjasama menyelesaikan kes-kes disiplin. Penglibatan semua pihak dari-pada anggota masyarakat umum kepada ketua masyarakat adalah perlu kerana masalah akhlak remaja ataupun pelajar adalah masalah masyarakat. Kawalan sosial perlu diwujudkan di kalangan penduduk dan sikap tidak ambil tahu perlu diubah demi kepentingan masyarakat.

Pusat kegiatan remaja satu lagi aspek pencegahan yang perlu diberi perhatian adalah penglibatan remaja dalam pusat kegiatan belia di mana semua aktiviti dirancang dengan teliti dan teratur. Dengan ini, program ataupun aktiviti yang diadakan di pusat-pusat latihan belia remaja membekalkan kemahiran-kemahiran supaya remaja dapat menggunakan kemahiran demi kepentingan diri mereka. Di samping kemahiran, pusat-pusat ini juga boleh memberi ceramah-ceramah, kelas-kelas bimbingan agama serta rekreasi-rekreasi sukan yang diperlukan dalam perkembangan sahsiah remaja. Jawatankuasa yang dibentuk antara Polis Di Raja Malaysia dan Jabatan Pendidikan Negeri bagi memerhati perkembangan aktiviti-aktiviti pelajar dari masa ke semasa dan mengambil langkah-langkah yang perlu sebelum pelajar-pelajar terjebak ke dalam apa-apa aktiviti yang menyalahi undang-undang. Namun, keberkesanan jentera ini dapat dipertingkatkan dengan membuat kajian dari semasa ke semasa berkenaan aktiviti, program serta pelaksanaannya dalam menangani masalah keruntuhan akhlak remaja.

Peranan media juga perlu diberi perhatian yang serius dalam usaha membendung gejala yang tidak sihat ini. Media cetak dan elektronik lebih mudah menganjurkan program berkaitan personaliti remaja berjaya. Remaja yang berjaya dalam lapangannya boleh memberi contoh yang positif kepada remaja secara keseluruhannya. Di samping dapat menjadi daya penarik kepada para pembaca, gambar-gambar remaja berjaya juga dapat merangsang pembaca remaja supaya turut berjaya dalam kegiatan yang mereka ceburi. Oleh itu, pihak penerbit, terutamanya yang mempunyai sasaran pembaca remaja perlu lebih sedar dan peka pada tanggungjawab sosial dengan menerbitkan lebih banyak bahan bacaan bercorak pengetahuan bagi melahirkan golongan remaja yang bertanggungjawab dan mempunyai sifat-sifat yang baik.


Institusi Pendidikan

Remaja adalah insan yang berumur sekitar 13 sehingga 20 tahun. Ini bermakna, remaja majoritinya adalah daripada kalangan pelajar sekolah menengah. Oleh itu hubungan remaja dan sekolah juga amat penting bagi membina keperibadian remaja yang unggul. Masa yang diperuntukkan ketika berada di sekolah sama dengan masa mereka berada di rumah. Kadang-kadang masa di sekolah melebihi masa di rumah.
Memang tidak dinafikan guru berperanan besar dan menjadi tonggak dalam institusi pendidikan untuk mendidik remaja di sekolah secara formal. Tetapi jangan dilupakan pembentukan peribadi bukan hanya terbatas pada sukatan yang diajar dalam bilik darjah, pendidikan tidak formal adalah lebih mempengaruhi jiwa remaja. Ketika berada dalam kelas, remaja biasanya berasa bosan terutamanya subjek yang diajar itu subjek akhlak atau moral. Manakala ketika mereka berada di luar masa pembelajaran rasmi, mereka merasa seronok. Ketika mereka berseronok dengan kawan-kawan mereka, mereka memerhatikan segala perlakuan manusia yang ada di sekitarnya. Oleh itu pendidikan tidak formal ini lebih kuat tarikannya daripada pendidikan formal yang diajar dalam kelas. Sama ada disedari ataupun tidak, sistem pendidikan yang diamalkan di Malaysia amat menekankan kesepaduan antara empat unsur utama; jasmani, emosi, rohani dan intelek. Oleh itu subjek pembinaan akhlak dan agama amat dititikberatkan.

Guru adalah golongan kedua penting dalam membentuk keperibadian remaja selepas ibu bapa. Apabila anak-anak mula menjejakkan kaki ke sekolah tanggungjawab mendidik dikongsi bersama antara ibu bapa dan guru. Tugas guru bukan hanya sekadar mengajar dalam kelas, menyampaikan sukatan pelajaran yang ditentukan dan memastikan pelajar berjaya dalam peperiksaan sahaja. Tetapi guru adalah sebagai pendidik kepada remaja. Kadang-kadang guru mengambil alih peranan ibu bapa. Ibu bapa yang mengabaikan tanggungjawab mendidik anak, sibuk dengan pekerjaan menyebabkan remaja hilang pendidik yang utama. Jadi gurulah yang menjadi tempat pendidik nombor satu bagi mereka. Tanggungjawab guru ke atas pelajar remajanya amat besar dan berat dipikul. Guru jangan sesekali hanya pandai berkata-kata atau memberi ceramah tentang menghindari keruntuhan akhlak remaja, tetapi mendekati pelajar dan remaja ini lebih dekat dengan berhikmah. Beri teguran yang mengusik hati mereka supaya hati mereka terarah kapada kebaikan. Pendidikan keagamaan dan moral di sekolah jangan hanya berbentuk teori tetapi lebih kepada mempratikkan syariat Islam secara menyeluruh dalam kehidupan pelajar. Ia termasuk pelaksanaan ibadah, muamalah dan akhlak.

Komunikasi Berkesan Guru perlu dalam membimbing pelajar remaja. Ada remaja yang suka berterus terang dan ada yang suka memendam rasa. Guru perlu kreatif supaya pelajar sanggup meluahkan perasaan dan memberikan pendapat tanpa segan silu. Guru perlu memahami, tugas mereka adalah membimbing bukan memaksa remaja menurut kehendak mereka. Guru perlu menghargai kehendak dan kebebasan remaja. Menerima dan menghargai kehendak remaja yang unik serta memberi sedikit kebebasan kepada mereka dapat mengeratkan lagi hubungan. Namun demikian, kehendak serta kebebasan remaja tidak boleh diberi tanpa sebarang bimbingan. Apabila kehendak mereka terlalu diikutkan, tidak berkesan pula pendidikan guru itu. Mereka perlu dikawal tetapi dengan kawalan yang sesuai.


Institusi Perundangan dan Penguatkuasaan

Perundangan adalah antara cara untuk menyelesaikan keruntuhan akhlak para remaja masa kini. Perundangan dalam Islam merupakan jalan yang terbaik untuk penyelesaian tersebut disebabkan perundangan dan ketetapan tersebut telah diatur oleh Allah s.w.t. Pelaksanaan perundangan tersebut akan dapat membendung masalah ini. Para remaja akan menjadi gerun dengan undang-undang dan hukuman menurut perundangan Islam bagi kesalahan jenayah yang dilakukan dan bertindak menjauhi amalan yang mendorong mereka kepada hal tersebut. Peringatan oleh Allah s.w.t yang mana jika berlaku sebarang permasalahan perlulah kembali kepada Al-Quran dan Sunnah, merupakan bukti masalah itu dapat diselesaikan jika kita kembali kepada ketetapan dan undang-undang yang telah di atur Allah s.wt. Oleh itu perundangan Islam perlulah di laksanakan oleh pemerintah secara keseluruhannya demi memastikan masalah keruntuhan akhlak remaja yang berleluasa ini dapat diselesaikan.
Hukuman hudud wajib dilaksanakan kerana ianya akan menyebabkan proses pencegahan dapat dilakukan. Sudah tentu jenayah rogol, zina, rompak yang didominasi oleh para remaja akan berkurangan disebabkan hukuman tersebut
Pihak polis hendaklah terus menjalankan penguatkuasaan dengan sentiasa memberi tumpuan kepada siasatan jenayah remaja supaya masalah ini tidak berterusan dan mereka yang menjadi dalang kepada sesuatu jenayah itu dapat diberkas. Setiap kes berkenaan remaja perlulah diambil perhatian dengan serius. Seperti contoh dalam kes dadah yang melibatkan ramai remaja, siasatan kepada pengedar-pengedar dadah terus menerus dijalankan untuk memastikan setiap pengedar itu dapat diberkas. Ianya perlu diperangi habis-habisan. Bukan sahaja pengedar-pengedar kecil yang perlu diberkas tetapi yang paling utama ialah dalang yang menyebabkan pengedaran itu berlaku. Jika tidak lebih ramai lagi remaja kita akan terjerumus ke lembah tersebut.
Begitu juga dengan jenayah seksual yang berleluasa penguatkuasaan hendaklah terus menerus dijalankan. Kaedah yang lebih berkesan perlu dilaksanakan antaranya mengubah sistem yang ada kepada sistem yang berteraskan Al-Quran dan Sunnah. Pencegahan menurut etika Islam perlu diteruskan secara menyeluruh dan bersepadu termasuklah dengan penglibatan ahli masyarakat. Dengan sistem menurut syariat Islam itu, maka penguatkuasaan segala bentuk pelaksanaan hukuman yang dilakukan hendaklah diberi penerangan tentang keindahan dan keadilannya, secara menyeluruh dan mendalam sehingga memberi kesan kepada kefahaman yang sebenar dan jelas tanpa kekeliruan.


KESIMPULAN

Matlamat utama Wawasan 2020 adalah membina sebuah negara maju tanpa mengabaikan nilai agama dan moral. Namun, apabila dilihat antara idealisme masa depan dengan realiti masa kini, terdapat jurang perbezaan yang besar di mana jumlah kes jenayah di kalangan pelajar ataupun remaja hari ini semakin meningkat. Nampaknya, semakin maju negara, semakin luntur nilai moral masyarakat. Justeru, dalam keghairahan merancang dan merencana pelbagai projek raksasa supaya negara seiring dengan ledakan informasi dan pembangunan industrialisasi yang mantap, kita juga tidak boleh meminggirkan projek raksasa dalam membina insan.



http://www.islam.gov.my/portal/lihat.php?jakim=2336

http://www.islam.gov.my/e-rujukan/lihat.php?jakim=1867

Tiada ulasan:

Catat Ulasan